nawaitu kita





engkau dengan aku
kita tidak punya cukup masa.
sejadah yang kita bentang
ikut masa yang takwim tetapkan
sememangnya belum pasti cukup untuk kita
kerana niat itu belum tercerna maksudnya.

kita mungkin gagah berani
kita mungkin primadona idaman manusia
digilai disanjungi 
namun apa juga yang menjamin kita ini
menjadi perbualan hangat penduduk langit?
sememangnya kita nanti 
hanya menjadi saksi kepada segala apa yang berlaku di bumi ini.

mungkin kita menelaah tafsir
mengaji kalam Allah
tetapi segalanya adalah bermukadimah dari niat
apa betul kiranya niat kita kerana Allah?

diri ini bukan cuma erti berpuisi
mengarang apa yang tercatit di minda 
namun firasat lebih mengerti
kesungguhan itu bukan mainan
kerna akhirat kita belum pasti

bekalan sebanyak mana yang kita simpan
jika wangian syurga itu kita idamkan?

lumrah hidup
sekejap di atas sekejap berada di bawah.
tak pernah kekal.
luntur.
kekadang kosong.
kering dan tidak bermaya. 

kita acapkali dipaksa untuk meminum racun dunia
membanjiri anak tekak kita dengan serakah fatamorgana
namun payah sekali untuk kita menepis rasa itu
kerana ianya sudah sebati dalam diri. 
itulah kita.
jahil pada batinnya.

siapa pun yang mampu menadah doa memohon ampun Ilahi
di setengah suku kelamnya malam
semoga dia dikurniakan syurga Firdausi.


dalam kerendahan hati, perlu ada ketinggian budi. 

Popular Posts